3/11/2012 — Sistem lampu isyarat ‘remote sensing’ di Lebuhraya Ipoh-Lumut percepatkan perjalanan pengguna: Menteri Besar
Kementerian Kerja Raya dijangka akan memasang sistem ‘remote sensing’ di semua lampu isyarat di Lebuhraya Ipoh-Lumut bagi mengurangkan tempoh perjalanan pengguna jalan raya berkenaan.
Sebelum ini tempoh perjalanan dari Ipoh ke Lumut memakan masa sekitar 90 minit dan dijangka dapat dikurangkan kepada 30 minit.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan pusat secara dasarnya telah bersetuju untuk memasang lampu isyarat yang dilengkapi sistem berkenaan.
“Sistem lampu isyarat yang digunakan di sepanjang lebuhraya Ipoh- Lumut bakal digantikan dengan sistem ‘remote sensing’ atau penderiaan jauh sebagai langkah mengurangkan waktu perjalanan yang ketika ini memakan masa sekitar satu jam 30 minit.
“Kos pemasangan yang melibatkan kos antara RM4 hingga RM5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan dan melibatkan sebanyak 35 buah lampu isyarat di sepanjang laluan berkenaan.
“Saya dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya bahawa kerajaan Persekutuan telah bersetuju meluluskan peruntukan itu mengantikan lampu isyarat dengan sistem ‘remote sensing’ bagi mengurangkan tempoh perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri program Keselamatan dan Kesejahteraan Nelayan di Pulau Pangkor.
Menurutnya, jarak perjalanan yang dahulunya memakan masa sehingga satu jam tiga puluh minit dijangka mampu dikurangkan melalui pemasangan sistem berkenaan.
“Jika kita anggarkan satu lampu isyarat mengambil masa satu minit, saya jangka ia akan mengurangkan waktu perjalanan sehingga setengah jam,” katanya.
Dr. Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, kerajaan negeri masih belum mengetahui tarikh sebenarnya projek itu akan dijalankan tetapi berharap ia akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Post time: Jun-16-2017